Monday 24 November 2014

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) berhubung dengan kenyataan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (UMNO) untuk "Menentang Pihak Manipulasi Perjanjian Malaysia"

Salam sejahtera kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones, mewakili Kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), yang bergerak dibawah naungan Sabah Sarawak Union (SSU)-UK, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar secara SAH dibawah Bidang Perundangan United Kingdom of Great Britain and Northen Irland (UK), ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan satu kenyataan yang telah dibuat oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Malaysia di Negara Sarawak pada 23 November 2014. Dalam kenyataannya yang disiarkan melalui berita online di The Malaysian Insider, ia mendakwa bahawa "Pemuda BN sedia tentang pihak manipulasi Perjanjian Malaysia".

Antara hujah-hujah pendeknya ialah "Pemuda Barisan Nasional (BN) terus komited untuk menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 bagi memastikan tiada pihak cuba memanipulasikannya khususnya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang"[1]. Ditambahnya lagi bahawa "anggotanya akan dilengkapi pemahaman penuh berhubung dengan perjanjian itu"[2].

Dalam kenyataannya juga, ia adalah bertujuan untuk "menangkis cubaan pihak yang cuba menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat Sabah dan Sarawak"[3]. Selain itu juga, dia berkata "kita komited kepada perjanjian yang dibuat untuk menubuhkan Malaysia. Malaysia ini ditubuhkan oleh Semenanjug (Tanah Melayu), Sabah dan Sarawak. Bukannya Sabah dan Sarawak yang menyertai Malaysia"[4]. Dan yang terakhir dalam hujah pendeknya ialah "Kita tahu dan kita akan menegakkan segala perjanjian dan segala persetujuan dibawah tema gagasan Malaysia"[5].

Pertama [1], saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana telah menyatakan pendirian dengan jelas sekali untuk menegakkan Perjanjian Malaysia 1963. Untuk itu, saya ada beberapa soalan kepada anda yang perlu dijawab dengan jujur iaitu adakah Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang diguna pakai oleh kerajaan persekutuan malaysia sekarang ini adalah Perlembagaan baru yang lahir pada 16 September 1963 ataupun merupakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 31 Ogos 1957 yang telah diadaptasi dengan menambah, menolak, mengubah dan sebagainya? Persekutuan Malaysia terbentuk pada 16 September 1963, adakah akta hasutan 1948 itu boleh digunapakai dalam kerajaan Persekutuan Malaysia apatah lagi keatas rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak? Pernahkah "malaysia" itu merdeka? Berapa tahun sudahkah persekutuan malaysia ini terbentuk? 

Kedua [2], anggota anda akan dilengkapi pemahaman penuh berhubung dengan perjanjian dalam konteks apakah pemahaman itu? Adakah dalam konteks pemahaman bahawa Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk persekutuan malaysia sekadar untuk menjadi setaraf dengan 11 buah negeri-negeri malaya ataupun sebagai salah satu rakan kongsi (negara) dalam pembentukkan persekutuan malaysia ini? Jikalau anda mengatakan hanya untuk menjadi "negeri-negeri" yang ke-12 dan yang ke-13, adakah terdapat wakil-wakil kerajaan negeri malaya yang bersama-sama mendatangani Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963? Ataupun hanya kerajaan persekutuan persekutuan tanah melayu (malaya) sahaja yang bersama dengan rombonganya menandatangni perjanjian tersebut?

Ketiga [3], Saya mengakui bahawa saya bertanggungjawab penuh dalam menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak kerana apa yang dituntut itu sememangnya adalah Hak Mutlak Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Adakah anda ingin bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak bergembira apabila Hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia itu tidak dihormati dan dilanggari? Rasa tidak puas hati itu timbul apabila pihak kami dan juga kumpulan-kumpulan NGO yang lain telah memberikan kesedaran melalui bentuk pendidikan dan pendedahan fakta sejarah berbukti yang selama ini telah disembunyikan dengan niat jahat. Bolehkah saya katakan kepada mereka untuk "bergembira" setelah mereka tahu hak yang sepatutnya mereka nikmati, penjanjian yang semestinya dihormati itu tidak berlaku seperti mana yang telah dipersetujui pada tahun 1963?

Keempat [4], kenyataan seperti ini sudah lama kedengaran selama 51 tahun termasuk tahun ini. Namun, kenyataan tetap kenyataan yang tidak pernah berakhir, dan hanya dilakukan pada mulut tetapi tidak kepada tindakan. Persekutuan Malaysia ini telah dibentuk oleh empat buah Negara yang Merdeka dan Berdaulat iaitu Negara Sabah, Negara Sarawak, Negara Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). Persoalannya, dimanakah sudah kerajaan persekutuan tanah melayu menghilang? Apakah pula definisi "persekutuan" dalam perlembagaan persekutuan malaysia? Adakah ia merujuk kepada definisi Persekutuan yang telah ditubuhkan pada 16 September 1963 ataupun definisi Persekutuan yang telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1957?

Kelima [5], jikalau benar anda tahu dan mahu menegakkan semula perjanjian malaysia ini, bolehkah anda sebagai menteri dalam kerajaan persekutuan malaysia ini mengusulkan dalam dewan parlimen pada tahun hadapan untuk mengkaji semula perjanjian malaysia? Ini kerana perjanjian malaysia yang ada sekarang masih menyatakan bahawa Negara Singapura masih sebagai anggota dalam persekutuan malaysia. Kita semua sedia maklum bahawa Negara Singapura telah menarik diri (bukan dikeluarkan) daripada persekutuan malaysia. Seharusnya sebuah Perlembagaan Persekutuan Malaysia diwujudkan untuk meramkumkan 4 (kini tinggal 3) buah kuasa kerajaan dalam Persekutuan Malaysia dan bukan 14 kuasa seperti yang wujud sekarang. Bolehkah ini semua dilakukan melalui jaminan dan tindakan anda selaku menteri persekutuan malaysia?

Segala jawapan anda akan ditakrifkan sebagai jawapan penuh kerajaan persekutuan malaysia kerana anda mewakili kerajaan persekutuan malaysia telah membuat kenyataan seperti ini, maka jawapan kepada persoalan ini seharusnya dan semestinya mewakili kerajaan persekutuan malaysia dan bukan atas kapasiti individu.

Kenyataan susulan berhubung dengan persoalan ini akan dikeluarkan sebaik sahaja anda (khairy) menjawab segala persoalan ini dengan jujur.
Harap maklum.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...